fb fb fb fb fb

Air zamzam barang kawalan, tidak boleh dijual beli atau hantar pos

Pengurus Khidmat Luar Lembaga Tabung Haji (TH), Mohamad Zamry Mohd Noor. Foto- BERNAMA

MEKAH, 29 Mei - Jemaah haji Malaysia diingatkan agar tidak membawa pulang air zamzam ke tanah air sama ada melalui kargo atau ruang kabin pesawat.

Pengurus Khidmat Luar Lembaga Tabung Haji (TH), Mohamad Zamry Mohd Noor berkata, larangan itu turut melibatkan penggunaan perkhidmatan pos bagi tujuan penghantaran air zamzam ke Malaysia.

Menurutnya, larangan berkenaan adalah selaras dengan peraturan pihak berkuasa Arab Saudi yang mengklasifikasikan air zamzam sebagai barangan kawalan.

"Setiap tahun ada jemaah yang cuba seludup air zamzam dalam botol kecil tanpa pengetahuan syarikat kurier. Bila sampai di lapangan terbang, barang itu akhirnya dikeluarkan.

"Kalau pos dari sini memang tak dibenarkan. Air zamzam ini barang kawalan, tak boleh dijual beli dan tak boleh diniagakan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat TH di Mekah.

Dalam masa sama, jemaah haji disaran merancang awal pembelian serta urusan pengeposan barangan sepanjang berada di Tanah Suci.

Langkah itu penting bagi memastikan kelancaran ibadah, khususnya menjelang Hari Wukuf yang menjadi kemuncak ibadah haji.

Perancangan awal juga dapat memberi keselesaan kepada jemaah semasa perjalanan pulang ke tanah air.

Bagi musim haji tahun ini, lima syarikat logistik telah diluluskan oleh Tabung Haji bagi menyediakan perkhidmatan pengeposan rasmi kepada jemaah.

Syarikat yang terlibat ialah TH Travel & Services Sdn Bhd, Pos Malaysia Berhad, FGV Transport Services Sdn Bhd, MASkargo dan Logistics Sdn Bhd serta KTH Logistics Sdn Bhd.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN