KUALA LUMPUR, 13 November - Malaysia terus memperkukuh komitmen ke arah tenaga bersih dan mampan apabila berjaya mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050, seiring dengan aspirasi menjadikan kemampanan sebagai teras kemajuan negara.
“Malaysia telah melebihi sasaran tenaga boleh baharu 2025 lebih awal daripada jadual, satu isyarat jelas terhadap momentum dan keazaman kita. Pendekatan negara bersifat pragmatik dengan memperkukuh tenaga suria, hidro, sisa kepada tenaga dan hidrogen hijau, disokong oleh penyimpanan tenaga serta potensi peranan tenaga nuklear dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya ketika berucap merasmikan Sustainability Environment Asia 2025 (SEA 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Program tiga hari bermula 12 hingga 14 November itu menghimpunkan lebih 500 peserta daripada pelbagai sektor industri bagi membincangkan langkah konkrit menuju ekonomi hijau.
Antara tumpuan utama SEA 2025 ialah Sidang Kemuncak ESG Malaysia 2025, Persidangan SEA: Keperluan Air untuk Sektor Pusat Data, dan Persidangan Karbon 2025 yang menampilkan lebih 50 penceramah tempatan dan antarabangsa.
Presiden ESG Malaysia, Steven Lee, berkata platform itu menggalakkan komitmen serantau ke arah pertumbuhan inklusif dan mampan, sejajar dengan sasaran Malaysia mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050.
Sementara itu, Presiden Persatuan Air Malaysia, Mohamad Hairi Basri, menegaskan bahawa penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) amat penting dalam meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air dan tenaga negara.
SEA 2025 turut dijalankan seiring dengan Global Automotive and Technology Expo (GATE) yang menampilkan E-Mobility Asia, hasil kerjasama antara Derrisen Sdn Bhd dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Pengarah Projek Derrisen, Karen Goi, berkata SEA 2025 berperanan sebagai platform penting yang menghubungkan perniagaan, pelabur dan inovator dalam mempercepat peralihan ke arah masa depan yang lebih lestari.