fb fb fb fb fb

Keputusan pengasingan kuasa AG, Pendakwa Raya diharap dapat dicapai sebelum PRU

Datuk Seri Azalina pada Majlis Pelancaran AI Legal Justice Roadmap 2025-2026 dan Peta Reformasi Institusi (PetaRI) di Universiti Malaya (UM) hari ini / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Mei - Kajian pengasingan kuasa Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP) masih perlu melalui beberapa peringkat sebelum dapat dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berharap keputusan berkaitan perkara itu dapat dicapai sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Lepas habis kajian secara empirikal, kita (kerajaan) kena bawa dalam beberapa jawatankuasa, lepas diputuskan, baru kita bawa ke bahagian dasar (Mesyuarat Kabinet), tetapi perkara ini bukan straightforward sebab kita kena buat kajian beberapa peringkat lagi, " katanya pada Majlis Pelancaran AI Legal Justice Roadmap 2025-2026 dan Peta Reformasi Institusi (PetaRI) di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Tambah beliau, banyak perkara yang perlu dikaji terutama kuasa pendakwaan di negeri-negeri.

“Seperti yang saya pernah terangkan di Parlimen, isu negeri-negeri sebab Sabah dan Sarawak , dia ada juga kuasa pendakwaan pada sesetengah aspek. Jadi kita kena tengok keseluruhan pemisahan ini. Sebab saya tengok masalah sekarang ini elemen AGC dari segi penasihat dan sebagainya," katanya.

"Bila kita sudah bersedia, kita akan bentangkan kajian ini".

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, draf kertas Kabinet mengenai pengasingan kuasa antara AG dan PP dijangka siap pada pertengahan tahun ini.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN