fb fb fb fb fb

Dunia bersatu, desak Israel henti sekat akses bantuan kemanusiaan - Wisma Putra

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 22 Mei- Malaysia menentang keras tindakan menyebabkan kebuluran orang awam dan menggunakan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan dunia seharusnya bersatu dalam memaksa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta menjamin akses tanpa sekatan kepada keperluan asas termasuk bekalan makanan, air dan perubatan di Gaza.

Penegasan itu disuarakan sebagai sokongan terhadap kenyataan bersama Menteri Luar Negeri dari 23 negara penderma kepada Palestin, yang mendesak agar bantuan kemanusiaan ke Gaza disambung semula dengan segera.

"Malaysia mengutuk sepenuhnya tindakan Israel yang terus menerus menghalang bantuan bagi tujuan menyelamatkan nyawa.

Pendekatan kolektif ini merupakan satu langkah kritikal bagi menyuarakan semula isu bencana kemanusiaan terburuk dalam sejarah
moden dunia yang telah lama sepi," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Malaysia turut mengulangi seruan kepada dunia untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

"Pengiktirafan bukan sahaja bersifat simbolik, ia adalah langkah yang diperlukan untuk mengakhiri penjajahan selama berdekad-dekad dan memulihkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, maruah, dan keamanan.

Tanpa kehendak politik, tiada penyelesaian, hanya kitaran berterusan keganasan dan penderitaan," jelas kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM