PUTRAJAYA, 22 Mei - Kes kematian Teoh Beng Hock telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan keputusan dibuat setelah meneliti dan mengkaji semua keterangan yang terdapat dalam kertas siasatan yang dikemukakan oleh polis.
Hasil penelitian terhadap keseluruhan keterangan mendapati tiada bukti mencukupi untuk membuktikan sebarang kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang.
Teoh Beng Hock ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 Plaza Masalam.
Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah yang pada masa sama adalah Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Beng Hock bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh, serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kes kematiannya.
Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat bunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock, sekali gus memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.