LANGKAWI, 22 Mei- Peluang-peluang yang ditampilkan di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak berkepentingan bagi mengenal pasti aset serta peralatan terbaik dan sesuai untuk membangunkan Angkatan Masa Hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah LIMA'25 mempunyai tarikan kuat yang amat kondusif untuk memperkasakan pembangunan industri pertahanan di Langkawi.
Ia terbukti menjadi medan unggul pertemuan antara menteri pertahanan dan pegawai tertinggi angkatan tentera.
Tambah Baginda, ia juga mengukuhkan jalinan hubungan baik dan kerjasama strategik, menjadi platform pertukaran idea serta mekanisme baharu bagi mempertingkat kerjasama dan pertukaran pertahanan.
"Selain itu, mewujudkan penglibatan dua hala dan pelbagai hala dalam menangani isu keselamatan serantau dan global secara holistik", titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika mengadakan lawatan ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 di Resort World Langkawi bagi menyaksikan pertunjukan maritim.
Demonstrasi melibatkan 136 pegawai dan anggota melibatkan operasi bot tempur dari Pasukan Polis Marin dan demonstrasi menyelamat tebusan oleh Pasukan Anti Keganasan Polis Diraja Malaysia.