SHAH ALAM, 18 November - Selangor komited meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan, namun tidak mahu sasaran 30 peratus itu dipenuhi sekadar memenuhi syarat semata-mata.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menegaskan pengisian kuota kepimpinan wanita perlu dilakukan secara berkualiti dengan memastikan golongan itu benar-benar bersedia serta mempunyai keupayaan memimpin.
Beliau menjelaskan antara cabaran utama wanita untuk bergiat aktif dalam kepimpinan ialah beban kerjaya dan pengurusan rumah tangga, sekali gus mengehadkan penglibatan mereka.
Program seperti Akademi Kepimpinan Wanita Berdaya diwujudkan bagi melatih lebih ramai wanita profesional dan teknokrat menyertai kepimpinan politik serta pentadbiran.
“Kita tak mahu mengisi 30% itu by kotak sahaja. Kita hormati kotak tersebut. Tapi kadang-kadang in term of ketersediaan, bukan sahaja kualiti, ketersediaan. Sebab sebagai wanita kadang-kadang terbeban dengan kerjaya. Ada juga terbeban dengan penurusan rumah tangga. Dan ini semua merupakan halangan-halangan.. mungkin profesional, mungkin teknokrat, dan ini adalah sebahagian daripada sejajar dengan pelan kita yang telah kita lakukan.”
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Wanita Berdaya Selangor dan Universiti Kebangsaan Malaysia di perkarangan Dewan Negeri Selangor.
Pada majlis sama, Datuk Seri Amirudin turut menyampaikan biasiswa WBS Kohort 4 kepada enam penerima baharu melibatkan tiga pelajar peringkat Sarjana dan tiga peringkat Doktor Falsafah.
Selain melancarkan logo baharu Akademi Kepimpinan Wanita Selangor berkonsepkan “Kepimpinan yang Anggun, Teguh dan Berwawasan.”
