fb fb fb fb fb

Nilai jualan PJRM setakat 15 November lepasi RM900 juta

Para pengunjung tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan pada Program Jualan Rahmah MADANI / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 November - 21,357 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) telah dilaksanakan di seluruh negara setakat 15 November lepas, memberikan manfaat secara langsung kepada hampir 23 juta rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, ia melibatkan nilai transaksi mencecah RM900 juta, manakala jumlah subsidi yang telah dibayar kerajaan mencecah RM255 juta hingga 14 November lalu.

" KPDN menyasarkan pelaksanaan lebih 20 ribu siri PJRM di seluruh negara pada 2025 melibatkan 222 kawasan Parlimen 600 kawasan DUN serta 40 zon di Wilayah Persekutuan."

"KPDN juga maklumkan Program Rahmah MADANI akan diteruskan pada tahun 2026 dan bawah Belanjawan 2026, kerajaan telah memperuntukkan RM 600 juta melalui inisiatif Payung Rahmah yang turut merangkumi pelaksanaan PJRM di seluruh negara." katanya dalam persidangan Dewan Rakyat.
 
Tambah beliau, bagi kawasan Parlimen Sungai Besar, sebanyak 91 siri PJRM telah diadakan melibatkan seramai 120,000 penerima manfaat.

PJRM akan terus menjadi platform penting dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat serta memastikan akses kepada barangan asas pada harga yang berpatutan.

EMMI NORALIZA ADNAN