KUALA LUMPUR, 18 November - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima hampir RM7.47 juta zakat perniagaan daripada 19 koperasi di Wilayah Persekutuan bagi haul 2024 dan 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata peningkatan jumlah kutipan zakat itu sehingga Oktober tahun ini menunjukkan kesedaran dan komitmen sektor koperasi menjadikan zakat sebagai instrumen penting membantu golongan asnaf khususnya yang berdepan tekanan kos sara hidup di kawasan bandar.
"Alhamdulillah, pada tahun ini, setakat bulan Oktober yang lepas, kita telah berjaya meningkatkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM122.03 juta, iaitu meningkat sebanyak 6 peratus daripada tahun lepas. Kita doakan agar apabila berakhirnya tahun 2025 ini, kita dapat meningkatkan lagi jumlah pembayaran zakat.
"... seterusnya dapat mengimbangi keperluan asnaf yang terdapat di Wilayah Persekutuan yang semakin lama semakin meningkat", katanya selepas menghadiri Majlis Zakat Perniagaan 2025 di ibu negara.
Tambahnya, sebanyak RM122 juta zakat perniagaan telah berjaya dikumpul dan menyasarkan sebanyak RM195 juta jumlah kutipan menjelang akhir tahun ini.
Antara 19 koperasi berkenaan ialah KOPETRO, Koperasi Polis Diraja Malaysia, Koperasi Tenaga Nasional, Koperasi Telekom Malaysia, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
PPZ-MAIWP akan terus memperkukuh kerjasama bersama sektor korporat dan koperasi bagi memastikan lebih banyak institusi tampil menunaikan zakat secara konsisten.