fb fb fb fb fb

Kepimpinan PM berjaya reformasi MITRA, kini lebih jelas dan telus - Ramanan

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan

KUALA LUMPUR, 2 September - Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) kini memasuki fasa baharu selepas berjaya direformasikan menerusi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fasa itu diperbaharui dengan hala tuju yang lebih jelas, telus dan berkesan bagi pembangunan masyarakat India khususnya golongan B40.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar, Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan bagi mengawal selia dan memantau setiap program yang dilaksanakan di bawah MITRA.

"MITRA kini nampak lebih bebas dan telus jika dibandingkan dahulu dan Inilah reformasi sebenar yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI terhadap MITRA.

"Jika dahulu, jarang sekali kita mendengar apa-apa penjelasan kerajaan mengenai MITRA ataupun SEDIC, tetapi Kerajaan MADANI sekarang tidak melindungi sebarang perkara berkaitan MITRA.

Setiap program dan penerima manfaat juga akan disenaraikan menerusi laman web MITRA, tidak seperti sebelum ini," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) MITRA di Dewan Negara hari ini.

Tambah Ramanan, jumlah peruntukan MITRA yang diluluskan telah mencecah RM62.28 juta atau 62.3 peratus setakat 15 Ogos lepas daripada peruntukan RM100 juta untuk tahun ini.

Perdana Menteri telah memberi kelulusan untuk melaksanakan 23 program di bawah inisiatif Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) yang memberi tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat India iaitu pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan serta kesejahteraan sosial.

Trainee