PADANG BESAR, 18 Mei - Kepimpinan dalam kalangan belia perlu menjadi fokus utama dalam melahirkan barisan pemimpin negeri dan negara pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, persatuan dan kelab belia seluruh negara seharusnya bersedia dengan pelan transisi kepimpinan belia bagi meneruskan kesinambungan pergerakan belia dan aspirasi pembangunan belia itu sendiri.
Ketika ini kepimpinan belia masih terikat dengan peraturan umur belia sehingga 40 tahun, namun bermula 1 Januari 2026 kepimpinan belia akan diterajui mereka berusia 30 tahun.
Transisi itu bukan hanya peralihan kuasa, malah transformasi minda dan sistem bagi memastikan negara terus maju seiring pembangunan belia di peringkat antarabangsa.
"Banyak cabaran dan perkara yang kita perlu susun dan susuli supaya ketersediaan anak-anak muda ini untuk mengambil alih dan meneruskan masa depan negara ini dibuat persediaan lagi awal. Maka sebab itu, apabila pelaksanaan umur 30 tahun, satu waktu yang agak pentinglah. Maka tahun depan kita serahkan kepada adik-adik untuk meneruskan pembangunan diperingkat belia ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Boulevard Kampus Uniciti Alam UniMAP, di sini.
Bersempena sambutan kali ini, turut disampaikan Anugerah Perdana Belia Negara kategori individu lelaki dan wanita serta persatuan belia terbaik dan aktif.
Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis berlangsung selama dua hari pada 17 dan 18 Mei dengan melibatkan lebih 40 aktiviti daripadda penyertaan pelbagai peringkat usia.