SEREMBAN, 18 Mei – Sebanyak 94 peratus kawasan Sungai Kampung Kayu Ara di Mambau kini didominasi oleh spesies ikan bandaraya atau nama saintifiknya 'Hypostomus plecostomus', menjadikan ekosistem sungai berkenaan berada pada tahap yang sangat membimbangkan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, situasi itu dikesan hasil program inventori dan pemburuan ikan asing yang dijalankan selama dua hari, yang menyaksikan lebih satu tan spesies tersebut berjaya didaratkan.
“Kalau dulu hanya tertumpu di beberapa tempat, tetapi kali ini kita perluaskan titik pencarian. Hasilnya,
"Jika tahun lalu hanya 1.1 tan berjaya ditangkap, kali ini sebanyak 1.9 tan kita dapat keluarkan dalam dua hari. Ini menunjukkan sungai ini ekosistemnya hampir rosak,” katanya.
Kasim berkata, peningkatan tangkapan itu bukan satu kejayaan, sebaliknya petunjuk kepada tahap kerosakan ekosistem sungai yang semakin kritikal akibat dominasi ikan asing invasif.
Spesies ikan bandaraya, katanya, menjadikan telur-telur ikan tempatan sebagai diet utama, sekali gus memberi ancaman besar kepada kelangsungan spesies asli tempatan seperti keli kayu, ketutu, haruan dan selat.
Namun begitu, Kasim optimis bahawa sungai berkenaan masih mempunyai harapan untuk dipulihkan apabila terdapat beberapa spesies ikan tempatan mula muncul semula di beberapa lokasi sungai tersebut.
“Kita masih boleh selamatkan sungai ini kerana ada tanda-tanda ikan asli seperti ketutu dan keli kayu kembali kelihatan, tapi kita perlu bertindak segera,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga sedang mengenal pasti beberapa lagi lokasi lain di daerah ini yang berpotensi mengalami masalah serupa, termasuk di sekitar Sungai Mambau dan Sungai Temiang.
Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan pemberian insentif kepada individu atau kumpulan yang berjaya menangkap ikan bandaraya, sepertimana inisiatif yang telah dilaksanakan di negeri Selangor.