fb fb fb fb fb

TPM saran RISDA wujud depoh getah berteknologi tinggi di Sabah

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (empat kiri) menyaksikan penyampaian cek oleh Pengerusi RISDA, Manndzri bin Nasib (tiga kiri) kepada wakil pekebun kecil Tenom, Jeneus Ampakat (dua kanan) pada program Pekebun Kecil Makmur RISDA peringkat negeri Sabah di Dewan SJK (C) Chung Hwa Tenom. / Foto BERNAMA

TENOM, 18 Mei- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mewujudkan Depoh Getah Berteknologi Tinggi di Sabah.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah berkata pewujudan depoh berkenaan yang dicadang untuk dibina di Tenom, adalah penting bagi memajukan industri getah di Sabah serta membantu pekebun getah di negeri itu.

Tambahnya, Sabah mempunyai potensi besar dalam industri getah Malaysia dengan memiliki keluasan tanaman terbesar di negara ini iaitu 202,536 hektar, atau 25.69 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman getah negara.

"Dengan wujudnya depoh berkenaan, RISDA juga harus membangunkan produk hiliran berasaskan getah secara komersial, termasuk kajian bahan api biologi daripada getah skrap di mana satu kilogram getah skrap mampu menghasilkan lima liter biodiesel yang dinamakan RISDA Biofuel," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Pekebun Kecil Makmur RISDA peringkat negeri Sabah di Dewan SJK (C) Chung Hwa, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut mengumumkan Anggota Parlimen Kinabangan Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebagai Penasihat Kehormat RISDA Peringkat Kebangsaan.

Pelantikan ini adalah usaha memastikan suara pekebun kecil Sabah terus didengari dan diberi perhatian.

Beliau berkata walaupun harga lantai getah rendah, kerajaan terus berusaha menstabilkan industri berkenaan.

"Kini, harga lantai cup lump ditetapkan pada RM5 sekilogram dan harga pasaran semasa sudah mencecah RM5.01 sekilogram seperti berlaku di Tangkak, Johor. Kita perlu ubah industri getah ini daripada sunset industry kepada sunrise industry dengan menyuntik elemen teknologi tinggi dan inovasi," tambahnya.

Beliau berkata Malaysia pernah menjadi antara pengeluar getah asli terbesar dunia dalam era 1930-an hingga 1990-an, namun kini negara berada di tangga keenam dunia akibat isu harga dan kekurangan tenaga kerja untuk torehan getah.

"Maka RISDA perlu mencari solusi. Teknologi perlu dicipta, anak muda perlu dilatih melalui pendekatan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan dimobilisasi untuk kembali ke sektor ini dengan kemahiran baharu, dan bukan hanya menjadi penoreh, tetapi pencipta nilai," katanya.

Selain itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata RISDA boleh meneliti usaha untuk menebang dan menggantikan pokok-pokok getah tua, sebelum kayu itu dimanfaatkan dalam industri pembuatan perabot.

"Kita berpotensi menanam semula 40,000 hektar setahun yang mana boleh menjana sehingga RM9 bilion nilai balak getah jika dimanfaatkan sepenuhnya. Jangan hanya biarkan industri perabot tertumpu di Muar, Johor. Saya mencadangkan agar Tenom dijadikan pusat industri perabot RISDA di Sabah," katanya

MOHAN CHINNASAMY