fb fb fb fb fb

PTPTN salur RM15,000 kepada anak-anak anggota FRU terkorban di Teluk Intan

Balu Allahyarham Nur Aini Samiun bersama dua anaknya ketika ditemui pemberita di Ipoh

IPOH, 18 Mei - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan RM15,000 kepada 15 anak anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan.

Pengerusinya Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, setiap seorang akan menerima sumbangan RM1,000, sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib keluarga mangsa.

Selain itu, PTPTN turut menyerahkan bantuan kepada waris penyimpan aktif Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), termasuk Allahyarham Mohamad Roslan Abdul Rahim yang menabung untuk ketiga-tiga anaknya menerusi akaun SSPN Prime dan SSPN Plus.

"Allahyarham membuat potongan gaji setiap bulan RM30, jadi atas simpanan arwah ini, SSPM Plus ini setiap akaun apa-apa berlaku kepada ibu bapa maka dapat RM60,000 perlindungan Takaful.

"Jadi tiga-tiga itu RM180,000 dengan khairat kematian dan lain-lain campur SSPN Prime, hari ni kita menyumbang menyampaikan duit yang mereka menabung ini sebanyak RM193,000 kepada keluarga Allahyarham," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan tersebut kepada balu Allahyarham Mohammad Roslan, di Ipoh.

Tiga anak Allahyarham yang menerima manfaat tersebut ialah Muhammad Raqin Najmi, 13 tahun, Muhammad Rizqi Nazhan, sembilan tahun, dan Nur Aqeela Rawida, enam tahun.
 
Balu Allahyarham Nur Aini Samiun, 44 tahun, menyifatkan simpanan tersebut sebagai satu bentuk perlindungan kewangan yang amat bermakna bagi masa depan anak-anak mereka.

"Memang sejak mereka lahir kami menabung dalam SSPN kepada mereka. Jadi kami beringatlah memandangkan kami tidak mempunyai pendapatan yang tinggi, jadi kami membuat simpanan ini untuk mereka," Nur Aini.

Dalam pada itu, PTPTN menyeru kepada ibu bapa agar membuka akaun SSPN seawal mungkin, bukan sahaja sebagai tabungan pendidikan, malah sebagai perlindungan kewangan masa depan anak-anak sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangka.

TETITIA YUSOFF