SHAH ALAM, 4 September- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedia mengangkat aspek keperluan peranti dan akses kepada internet bagi setiap pelajar.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ia bakal menjadi salah satu tumpuan dalam Pelan Pendigitalan Pendidikan Tinggi Negara.
"Mendepani keperluan semasa, KPT juga secara konsisten terus memperkukuh agenda pendigitalan pendidikan yang lebih holistik melalui pemerkasaan infrastruktur, kelengkapan bilik kuliah, pengukuhan kurikulum dan sebagainya.
"Semuanya demi mewujudkan ekosistem pendidikan yang terbaik dan juga terkehadapan untuk manfaat IPT negara kita," kata Noraini.
(Noraini Ahmad)
Beliau berucap dalam Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UITM), di sini.
Menurut Noraini, pihak kementerian turut mengagihkan lebih 10,000 unit komputer riba kepada pelajar yang memerlukan dengan peruntukkan RM3.8 juta dan Bantuan Pelan Dara RM50 secara one off kepada hampir 76,000 pelajar baharu sesi Akademik 2020/2021 .
Sementara itu, beliau turut menyambut baik dengan pemberian perantisiswa dan berharap program seperti ini dapat diperluaskan agar dimanfaatkan 1.6 juta pelajar di lebih 600 IPT seluruh negara.