MACHANG, 11 Mei - Keperluan operasi pembenihan awan bergantung kepada permohonan yang dilakukan oleh kerajaan negeri masing-masing.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, proses tersebut akan dilaksanakan jika ia dibangkitkan kerajaan negeri dan pihaknya akan membantu mengikut mekanisme yang ditentukan.
"Kalau ada keperluan, kita akan aturkan kerana ia ada mekanisme tertentu,” katanya, bercakap kepada media selepas menghadiri Program Townhall Madani bersama Mahasiswa dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang.
(Nik Nazmi ketika dalam Program Townhall Madani bersama
Mahasiswa dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang)
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan dan rakyat perlu bersama-sama melakukan persediaan awal bagi menghadapi fenomena El Nino kuat yang diramal Jun ini, bagi meminimumkan impak fenomena itu.
Pakar Alam Sekitar, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, persiapan awal meliputi semua aspek perlu bagi mengelakkan kepanikan melampau.
Berdasarkan rekod setakat 2015, El Nino pernah melanda negara sebanyak 12 kali iaitu sejak tahun 1951 hingga 1952 dan kejadian yang paling teruk ialah pada 1997 hingga 1998 apabila catatan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.
Pada 2 Mei lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjalankan Operasi Pembenihan Awan di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang serta Empangan Teluk Air Itam di Pulau Pinang yang turut membabitkan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kerajaan negeri Pulau Pinang.