fb fb fb fb fb

Isu Myanmar dirumus lebih baik menerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-42

LABUAN BAJO, 11 Mei - Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 berjaya merumuskan isu Myanmar yang agak rumit dengan lebih baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara-negara anggota ASEAN kekal dengan prinsip mereka untuk mempertahankan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dalam berhadapan isu tersebut.

Malaysia mengambil pendirian yang lebih jelas yang mahu isu tersebut diselesaikan dengan segera.

Penangguhan penyelesaian isu tersebut akan memberi kesan kepada negara-negara jiran seperti Malaysia yang turut menerima pelarian dari negara tersebut yang kini mencecah lebih 200,00 orang pelarian. 

"Isu yang dianggap agak kontroversi, rumit, Myanmar itu juga dapat dirumuskan dengan lebih baik. Negara-negara nampak kekal pertahanan prinsip Konsensus Lima Perkara (5PC) itu, iaitu yang menyentuh soalan kemanusiaan, soal penyelesaian mengikut rukun antarabangsa dan lain-lain, tetapi memberi ruang supaya ada kemungkinan secara tidak rasmi, berunding terus bukan sahaja dengan kekuatan Junta tapi semua yang terlibat," kata Anwar di sini.

(Perdana Menteri ketika ditemui media di Labuan Bajo)

Sementara itu, Presiden Indonesia yang juga Pengerusi ASEAN, Joko Widodo berkata mereka bersedia untuk berbicara dengan sesiapapun termasuk pihak Junta dan pemegang taruh di Mynmar untuk kepentingan kemanusiaan.

Beliau menegaskan, kesediaan mereka untuk berbincang bukan bermakna mereka mengiktiraf kerajaan Junta Myanmar tetapi merupakan usaha untuk menghentikan kekerasan dan melindungi rakyat.

Media Baharu