KUALA LUMPUR, 24 Februari- Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia merupakan platform terbaik mempromosi sektor pelancongan kesihatan.
Timbalan Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA), Datuk Azlie Halim berkata Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan peluang tersebut, seterusnya berpotensi menjadi hab pelancongan kesihatan terkemuka di rantau ASEAN.
Beliau berpandangan pengusaha agensi pelancongan tempatan perlu merebut peluang untuk menawarkan pakej-pakej pelancongan kesihatan yang lebih menarik kepada pelancong daripada segmen itu.
"Yang datang untuk mendapatkan rawatan atau membuat pemeriksaan kesihatan di Malaysia, selepas mereka mendapatkan rawatan, mereka akan balik. Jadi, kita tidak ada satu inisiatif untuk memanjangkan lagi stay mereka di negara kita, jadi dengan kita menawarkan pakej pakej pelancongan selepas rawatan.
"Pihak agensi-agensi pelancongan ataupun hotel dengan kerjasama pusat perubatan kita boleh duduk dan berbincang untuk mewujudkan satu pakej pelancongan khas untuk pelancong-pelancong kesihatan ini. Sebenarnya memberikan banyak ruang untuk kita menjana pendapatan kepada sektor pelancongan itu sendiri", katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota media.
Jelasnya, kos rawatan yang berpatutan menjadi antara faktor pelancong kesihatan memilih Malaysia untuk menjalani rawatan atau pemeriksaan kesihatan.
Pada tahun 2024, sektor pelancongan kesihatan di Malaysia mempamerkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan penjanaan pendapatan RM2.4 bilion, sekali gus menyumbang limpahan ekonomi kira-kira RM9.6 bilion terhadap industri lain.
Indonesia merupakan penyumbang tertinggi pelancong kesihatan ke Malaysia, dengan peratusan antara 70 dan 80 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong kesihatan.
Selain Indonesia, negara lain yang menyumbang kepada pelancongan perubatan di Malaysia termasuklah China, Australia, Jepun, Filipina dan Korea Selatan.