KUALA LUMPUR, 24 Februari- Sebanyak 59.3 peratus atau 72,385 murid Tahun 1 yang dikenal pasti dalam Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi telah berjaya menguasai kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M) setakat 31 Januari 2025.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, memaklumkan, bagi murid yang belum menguasai kemahiran tersebut, mereka akan mengikuti program pemulihan khas di Tahun 2 sebagai langkah sokongan.
"Bagi kurikulum prasekolah 2026 dan persekolahan 2027, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil pendekatan untuk memberikan tumpuan khusus kepada literasi dan numerasi bagi murid Tahap 1," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa program pemulihan khas itu akan dijalankan selepas tiga bulan sesi persekolahan bermula bagi memastikan intervensi awal dapat dilaksanakan.
Wong Kah Woh berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya, di Dewan Rakyat hari ini.