JOHOR BAHRU, 24 Februari- Seorang pemandu ditemui rentung, selepas kenderaannya terbakar akibat kemalangan, di kilometer 5.5 Lebuhraya Utara - Selatan (Arah Utara), Johor Bahru, Johor, pada pukul 5 pagi semalam.
Kenderaan dipandu lelaki berusia 22 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar secara tiba-tiba, ketika melalui lorong kanan di jalan tersebut.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Balveer Singh berkata, mangsa sempat memberhentikan keretanya, namun terperangkap dan rentung di dalam kereta.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau turut berusaha memadamkan kereta yang terbakar kira-kira 90 peratus.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.