fb fb fb fb fb

Wartawan Radzi Razak dilantik sebagai Setiausaha MMM

Foto hiasan/MMM

KUALA LUMPUR, 28 November - Majlis Media Malaysia (MMM) mengumumkan pelantikan Radzi Razak sebagai Setiausaha Majlis berkuat kuasa 1 Disember ini bagi tempoh dua penggal.

MMM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan Radzi sebagai Setiausaha Majlis akan bertanggungjawab terhadap keseluruhan pentadbiran dan pengurusan Majlis tertakluk kepada dasar yang ditetapkan Lembaga, selaras Seksyen 12 Akta MMM 2025.

"Radzi yang merupakan wartawan dan salah seorang daripada pengasas Gerakan Media Merdeka (GERAMM) akan mengetuai serta menyelia operasi Sekretariat Majlis. Lembaga Majlis percaya Radzi berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin Sekretariat Majlis dalam fasa awal penubuhannya bagi memastikan amanah serta fungsi Majlis dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Radzi bersama Timbalan Setiausaha Majlis Faiz Mustafa, kini akan memulakan proses pembentukan pasukan Sekretariat Majlis yang dijangka terdiri daripada kira-kira 10 anggota bagi melaksanakan tanggungjawab dan fungsi Majlis," jelas kenyataan itu.

Radzi yang mempunyai pengalaman luas dalam industri media pernah berkhidmat sebagai wartawan di Malay Mail, Malaysiakini, Free Malaysia Today, The Malaysian Insight, BenarNews (RFA) dan The Malaysian Reserve.

Radzi juga adalah pengasas Dapur Jalanan Kuala Lumpur, sebuah pertubuhan amal yang membantu golongan gelandangan di ibu negara.

Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa pro tem Majlis Media sebelum ini dan merupakan Ahli Lembaga Pengasas Majlis yang dilantik oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 15 Julai lepas.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN