fb fb fb fb fb

18 akaun agensi media disekat, MCMC dapatkan penjelasan TikTok

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Februari- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berhubung dengan TikTok susulan sekatan terhadap 18 akaun milik agensi media tempatan.

Maklumat awal diterima menyatakan bahawa sekatan dibuat berikutan pelaporan di platform itu berhubung kes cabul melibatkan kanak-kanak perempuan yang berlaku di Batang Kali, baru-baru ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata satu perbincangan lanjut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi memperhalusi isu berkenaan.

"Tiktok juga telah memaklumkan bahawa mereka telah meningkatkan penggunaan AI Moderation dan AI Moderation sering kali boleh salah faham kandungan-kandungan yang kita muat naik.

"Jadi ada peluang untuk bincang dengan pihak TikTok beri kelonggaran ataupun beri status yang berbeza untuk syarikat-syarikat media kerana mereka membuat pelaporan dan pelaporan ini, kita ada garis panduan, tataetika, kod etika sendiri dan di situ saya nampak TikTok perlu faham", katanya kepada media selepas melancarkan Kursus 'AI in the Newsroom' di ibu negara.

Antara akaun milik agensi media yang disekat termasuk Bernama, Buletin TV3 dan Utusan Online.

Sementara itu, organiasasi media disaran membuat pelaburan dengan mewujudkan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO).

Pewujudan jawatan itu penting untuk melindungi data kritikal yang dihasilkan syarikat media berkenaan.

"Setiap organisasi juga perlu membuat sedikit pelaburan kepada 'Chief Infomation Security Officer'. Ini sangat-sangat penting sebab kita dah pinda Akta Perlindungan Data Peribadi dan kita tahu hari ini data termasuk yang dijana dihasilkan oleh syarikat media sangat-sangat berharga. Jadi kalau ada CISO, kita boleh jaga hasil itu dan boleh manfaatkan", katanya.

Beliau turut menggalakkan organisasi media melaksanakan perancangan dan pelaburan dalam transformasi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan profesional media tempatan.

ROSLINA BINTI DIN