SEREMBAN, 28 November -Produk kesihatan dan kosmetik tidak sah bernilai lebih RM80,000 dirampas, dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar daerah ini semalam.
Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dalam satu kenyataan memaklumkan, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi menyerbu lapan premis susulan aduan awam dan menemukan 200 jenis produk tidak berdaftar, disyaki mengandungi racun berjadual serta kosmetik tidak bernotifikasi.
"Premis tersebut dikenal pasti sering menjadi tumpuan pengguna khususnya dalam kalangan bukan warganegara,” menurut kenyataan itu.
Jelasnya kesalahan tersebut adalah bawah Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 18(A)(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM50,000.
Bagi kesalahan di bawah Akta Racun 1952 pula, pihak berkaitan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut jabatan berkenaan, tindakan penguatkuasaan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan membanteras penjualan produk kesihatan tidak sah di pasaran.
Orang ramai disaran menyemak status pendaftaran produk melalui laman NPRA dan menyalurkan aduan mengenai produk meragukan melalui SisPAA, talian hotline 03-7841 3200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran.