fb fb fb fb fb

7 juta pelancong China tiba di Malaysia setakat Oktober

Foto BERNAMA

SEPANG, 28 November- Malaysia Airports Berhad (MAHB) merekodkan hampir 7 juta pergerakan penumpang dari China sehingga Oktober tahun ini, menjadikan pelancong China antara kumpulan kemasukan terbesar ke Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata 14 syarikat penerbangan China kini beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan ketibaan penerbangan pertama Spring Airlines dari Shanghai Pudong menandakan era baharu hubungan penerbangan antara kedua negara.

"Ketibaan Spring Airlines bukan sahaja mengukuhkan keterhubungan KLIA sebagai hab utama di Asia Pasifik, tetapi juga mengangkat peranan Malaysia sebagai pintu masuk penting ke rantau ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di KLIA2, Sepang.

Beliau menambah bahawa pelancaran penerbangan ini sejajar dengan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026, di mana setiap perkhidmatan baharu menyokong visi MAHB untuk membangunkan ekosistem penerbangan menyeluruh.

Ini membolehkan syarikat penerbangan berkembang, serta memberikan pengalaman perjalanan yang lancar kepada penumpang.

Selain itu, Perjanjian Pengecualian Visa Malaysia–China turut memudahkan aliran penumpang antara kedua negara, menjadikan perjalanan lebih lancar dan menyokong pertumbuhan sektor pelancongan serta ekonomi secara keseluruhan.

SITI NOORAIN ABDULLAH