KUALA LUMPUR, 29 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap aduan berkaitan kenyataan di media sosial, berpandukan prosedur dan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan boleh dimulakan berdasarkan laporan awal orang awam yang diterima melalui agensi penguat kuasa berkaitan.
Menurutnya, antara kesalahan yang disiasat termasuk di bawah Seksyen 233 Akta 588, melibatkan penyebaran kandungan sumbang, palsu, berunsur ancaman atau melampau.
"Pemeriksaan lanjut dijalankan oleh pegawai yang diberi kuasa MCMC sama ada dengan waran mahkamah atau melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Rakaman percakapan juga diambil daripada individu yang disiasat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, jika terdapat bukti awal yang mengaitkan individu terlibat, peranti komunikasi milik individu tersebut boleh disita bagi tujuan ujian forensik untuk mendapatkan bahan bukti teknikal.
Kertas siasatan yang telah lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara untuk penilaian lanjut, termasuk keputusan untuk memulakan pendakwaan atau menawarkan kompaun, jika bersesuaian.
“Kesemua proses siasatan ini dijalankan secara telus dan menyeluruh, merangkumi semua aspek bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dilakukan dengan adil," katanya.