KUALA LUMPUR, 29 Julai- Kerajaan kini meneliti keperluan mewajibkan pendaftaran MyDigital ID, namun keutamaan ketika ini adalah membina keyakinan rakyat terhadap keselamatan sistem tersebut.
Menurut Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara (NACSA MKN), Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin, pelaksanaan wajib hanya akan dipertimbang selepas kadar penggunaan meningkat dan aspek keselamatan diperkukuh.
“Negara seperti Singapura dan Arab Saudi pun mulakan secara sukarela. Kita juga sedang perhalusi undang-undang agar identiti digital tidak disalah guna,” katanya kepada RTM.
Beliau menegaskan bahawa MyDigital ID tidak menyimpan data peribadi pengguna dan menggunakan sistem penyulitan tinggi bagi mengelak sebarang risiko kebocoran.
Mengulas kebimbangan golongan tanpa akses digital seperti warga emas, beliau berkata kerajaan sedang mencari mekanisme sokongan agar tiada yang tercicir.
Setakat ini, lebih 2.8 juta rakyat telah mendaftar secara sukarela, dengan lebih 45 aplikasi kerajaan dan swasta telah diintegrasi dan angka itu dijangka terus meningkat menjelang hujung tahun.