fb fb fb fb fb

Kenderaan bawa Panglima Angkatan Tentera tiba di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Kenderaan yang membawa Panglima Angkatan Tentera, (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada pukul 2.05 petang.

Ketibaan Affendi dijangka mempunyai kaitan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada pukul 4 petang ini.

Pertemuan bersama Seri Paduka Baginda tersebut dijangka bakal menjawab desas desus tentang pembubaran parlimen yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Pengamal-pengamal media telahpun berkumpul di perkarangan Istana negara sejak pukul 9 pagi tadi bagi membuat liputan mengenai perkembangan tersebut.

Perdana Menteri sebelum ini mengesahkan akan menghadap Yang Di-Pertuan Agong hari ini bagi menyembah maklum keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Kabinet termasuk mengenai Bajet 2023 yang bakal dibentangkan esok.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada beliau akan turut mempersembahkan tarikh pembubaran parlimen kepada Seri Paduka Baginda.

Wartawan/Video: Muhamad Asyraf Ishak

Media Baharu