fb fb fb fb fb

Annuar jelas kekeliruan peratusan capaian 5G

(Foto Hiasan)

KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan kepada Dewan Rakyat kekeliruan mengenai peratusan capaian 5G di bandar-bandar utama.

Beliau berkata peratusan capaian 5G yang disasarkan mencapai 40 peratus pada akhir tahun itu sebenarnya merujuk kepada penyediaan prasarana oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

"Saya faham apabila ada sesetengah orang kata sudah ada liputan 5G di Kuala Lumpur dan sebagainya, kenapa kita belum terima? Sebenarnya belum sampai ke tahap itu, peratusan yang diberikan itu ialah apa yang disyaratkan kepada DNB untuk menyediakan prasarana di beberapa lokasi.

"Sekarang ini lebih 2,000 lokasi yang telah disiapkan tetapi servis kepada orang ramai itu perlu dilaksanakan oleh syarikat-syarikat telco yang mempunyai lesen itu tadi," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang meminta penjelasan mengenai peratusan capaian 5G di bandar-bandar utama yang masih belum dapat dinikmati pengguna khususnya di Petaling Jaya.

Tan Sri Annuar menjelaskan kelewatan bagi perkhidmatan capaian 5G untuk pengguna berlaku berikutan hanya empat syarikat telekomunikasi menerima dan menjadi pemegang saham DNB; walaupun enam syarikat ditawarkan untuk menjadi pemegang saham DNB.

Dalam pada itu; keseluruhan 138 lokasi Jalur Lebar Satelit telah siap dipasang di seluruh kawasan pedalaman di Sabah yang telah memberikan manfaat kepada penduduk negeri tersebut.

Selain itu, sebanyak 142 tapak menara baru telah siap daripada 614 tapak menara yang dirancang.

Tambahnya lagi, penambahbaikan liputan ke seluruh negara termasuklah di kawasan luar bandar dan pedalaman akan diteruskan melalui Pelan JENDELA Fasa 2 (2023-2025).

Tan Sri Annuar menjawab pertanyaan Datuk Seri Azizah Mohd Dun.


(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa)

Media Baharu