fb fb fb fb fb

Kenderaan ‘ulat KLIA’ dilucut hak, operasi JPJ sasar warga asing & teksi awam

Muhammad Kifli Ma Hassan memeriksa kenderaan dipercayai 'ulat' di KLIA

SEPANG, 18 Jun- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil langkah drastik dengan melaksanakan pelucutan hak ke atas kenderaan yang terlibat dalam kegiatan ‘ulat’ kereta sewa haram di KLIA dan KLIA2, sekali gus diserahkan kepada kerajaan sebagai aset sitaan.

Langkah tegas itu diumumkan Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan dalam sidang media khas Ops Ulat KLIA, hari ini.

Menurut beliau, tindakan itu dilaksanakan selepas JPJ Selangor berjaya memperoleh perintah mahkamah mengikut Seksyen 227 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara.

“Denda sebelum ini tidak memberi kesan. Pelaku membayar, dan keesokan hari kembali menjalankan kegiatan ulat. Kini, kita rampas terus kenderaan mereka, potong sumber operasi sepenuhnya,” tegas beliau.

Sehingga kini, sebanyak 80 tangkapan telah dibuat tahun ini, melibatkan 69 kenderaan persendirian, 10 kenderaan perkhidmatan awam, dan satu kes individu yang menyembunyikan kenderaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Lebih membimbangkan, JPJ turut mengesan penglibatan warganegara asing dalam kegiatan haram berkenaan.

“Mulai hari ini, semua kes melibatkan warga asing akan terus dicadangkan untuk pelucutan hak walaupun hanya melakukan satu kesalahan. JPJ tidak akan berkompromi,” katanya lagi.

JPJ turut memberi tumpuan kepada pemandu teksi sah yang menyalahgunakan lesen dan permit dengan mengenakan caj berganda antara RM100 hingga RM150 kepada penumpang, berbanding kadar rasmi RM65 hingga RM80.

Tindakan tegas menanti golongan ini termasuk pelucutan hak kenderaan serta-merta.

“Mereka diberi kebenaran beroperasi secara sah, tetapi ambil kesempatan menjadi ulat. Tindakan ini mencemarkan imej negara dan menjejaskan industri pelancongan serta sistem pengangkutan awam,” jelas Kifli.

Mereka yang disabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 205(1) APAD 2010 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya. Individu yang bersubahat pula boleh didakwa di bawah Seksyen 243(1) akta sama.

JPJ turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Peguam Negara atas sokongan berterusan dalam mempercepat proses dakwaan dan pelucutan hak.

Ops Ulat KLIA akan diteruskan dengan penempatan anggota penyamaran JPJ serta kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain bagi menumpaskan sindiket yang mengancam reputasi serta keselamatan sistem pengangkutan negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE