fb fb fb fb fb

Pusat data perlu libatkan pelaburan menyeluruh rantaian nilai

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Jun- Pelaburan dalam pusat data perlu melibatkan keseluruhan rantaian nilai, bukan sekadar pembinaan fizikal semata-mata.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, pelaburan dalam pusat data tidak seharusnya dilihat secara terasing.

Sebaliknya, memerlukan keseluruhan rantaian nilai yang dapat menyokong pembangunan ekonomi mampan dan digital negara, seiring perkembangan teknologi arus perdana.

"Apa yang penting ialah kita perlu buat pelaburan yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai dalam pembangunan pusat data. Ia bukan sekadar membina pusat data macam membina hotel. Kita kena pastikan pelaburan ini benar-benar beri pulangan dan manfaat maksimum.

Tambah beliau, pelaburan strategik dalam pusat data yang dimanfaatkan secara menyeluruh juga berupaya menjana nilai tambah kepada ekonomi negara.

"Dengan itu, ia dapat disalurkan kepada sektor tenaga boleh baharu. Jadi, pusat data boleh berperanan sebagai pemangkin kepada peralihan hijau, di samping merangsang lebih banyak pelaburan dalam rantaian bekalan serta mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik, bukan sahaja dalam pusat data, tetapi juga dalam keseluruhan ekosistem.

"Di samping itu, ia turut melibatkan pelaburan dalam transformasi kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh, dan pada masa sama mewujudkan peluang kepada Malaysia untuk bangunkan AI berdaulat (Sovereign AI)," katanya.

Dalam pada itu, Liew turut menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena "phantom demand" atau permintaan palsu dalam industri pusat data, yang menyebabkan pembinaan secara spekulatif tanpa keperluan sebenar.

“Kami rasa, pusat data adalah binaan spekulatif dan kita tidak mahu melihat pembinaan pusat data yang hanya bersifat spekulatif. Kita mahu pengendali tulen yang benar-benar mempunyai kapasiti dan keperluan operasi berada dalam sistem,” jelas beliau.

"Jadi, saya rasa itulah perkara-perkara yang ingin kita usahakan. Adalah lebih baik kita mempunyai pusat data daripada tiada langsung, dan lebih baik lagi apabila kita melihat pemain utama industri turut melabur secara langsung di sini. Itu adalah satu permulaan yang sangat baik,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, langkah itu sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab digital serantau dan memperkukuh kedudukan negara dalam ekonomi teknologi tinggi masa hadapan.

Beliau ditemui selepas menyertai sesi panel Simposium Sasana 2025 (SS2025) di ibu negara.

Persidangan tahunan anjuran Bank Negara Malaysia itu berlangsung selama dua hari bermula semalam, melibatkan beberapa sidang pleno yang menampilkan pakar serta pemimpin pemikiran dalam bidang ekonomi dan sektor kewangan, serta pelbagai bidang lain.

Tahun ini, topik utama SS2025 tertumpu kepada isu-isu berkaitan ekonomi, aset digital, pembaharuan menyeluruh dalam sektor penjagaan kesihatan, keterangkuman kewangan, kewangan Islam serta kelestarian.

ROSLINA BINTI DIN