fb fb fb fb fb

Kenaikan tarif air baharu Terengganu tidak melebihi 20 sen

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

MARANG, 21 Januari- Kenaikan tarif air baharu untuk pengguna domestik di Terengganu tidak akan melebihi 20 sen bagi setiap 20 meter padu (m³).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelarasan tersebut adalah minimum dan tidak akan membebankan pengguna.

Ujarnya, kenaikan tarif air itu juga memberi situasi 'menang-menang' untuk syarikat pengendali air dan pengguna di negeri berkenaan.

"Ada negeri-negeri yang kenaikannya yang lepas adalah 10 tahun, ada yang 15 tahun dan di Terengganu sudah lebih daripada 20 tahun tidak berlaku kenaikan.

"Jadi sedikit sebanyak ia boleh membantu syarikat air untuk menyediakan keperluan yang lebih baik kepada pengguna, penggantian paip dan sebagainya," katanya.

Ahmad Samsuri berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Kediaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang di sini, hari ini.

Tambahnya, sebanyak 73.8 peratus pengguna domestik yang secara purata menggunakan hingga 40 meter padu air sebulan hanya akan mengalami kenaikan purata antara RM1.80 hingga RM7.16 sebulan mengikut jumlah penggunaan susulan kenaikan tarif air bermula 1 Februari ini.

Ujarnya lagi, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian subsidi dan inisiatif kepada pengguna domestik seperti disarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ketika mengumumkan pelarasan tarif air baharu itu pada Rabu lalu.

"Bantuan atau inisiatif yang diberikan oleh operator bekalan air negeri iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) kepada pengguna domestik ketika ini adalah pemberian subsidi 20 meter padu kepada pengguna golongan B40.

"Pemberian subsidi ini membabitkan 11,832 akaun dengan kos tanggungan sebanyak RM1,176,180 setahun," katanya.

Untuk rekod, Terengganu merekodkan tarif air antara terendah berbanding negeri lain dengan kadar 42 sen bagi setiap 20 m³ bagi penggunaan domestik.

ZEHRA BINTI ZAMBRI