fb fb fb fb fb

KKR kemuka cadangan naik taraf jalan Johor Bahru-Endau dalam Rolling Plan Kelima RMK-12

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander meninjau lokasi cerun runtuh di FT003 Jalan Johor Bahru-Kampung Sawah Dato’ di sini. 

MERSING, 21 Januari- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengemukakan cadangan menaik taraf dan membaiki jajaran FT003 (Jalan Johor Bahru-Endau) melibatkan lokasi sering kemalangan dan terjejas banjir untuk dimasukkan dalam Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek melibatkan naik taraf dan membaiki jajaran jalan di Seksyen 106 hingga Seksyen 118, dianggar melibatkan kos lebih RM100 juta.

"Kita anggap projek ini sebagai penting demi keselamatan nyawa sebab sebahagian dalam jajaran ini memang dikatakan ‘black spot’,berlaku banyak kehilangan nyawa jadi kadar kemalangan yang sangat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau laluan itu di sini hari ini.

Berdasarkan data JKR, sebanyak 103 kemalangan direkodkan di laluan FT003 di daerah ini, bermula dari sempadan Kota Tinggi hingga Rompin, Pahang sepanjang tiga tahun bermula 1 Januari 2021 hingga 10 Disember lepas.

Daripada 103 kemalangan itu, 27 kes adalah melibatkan kemalangan maut.

Dalam pada itu, Alexander berkata jajaran yang dicadang untuk dinaik taraf itu juga sering terjejas banjir.

Beliau berkata cadangan itu juga merupakan kesinambungan kepada kerja-kerja menaik aras jalan iaitu laluan FT003 (Jalan Kota Tinggi-Mersing) melibatkan anggaran kos sebanyak RM120 juta yang telah diluluskan permohonan dalam Rolling Plan Keempat (RMK-12).

Laluan FT003 merupakan jalan penghubung utama dari Kota Tinggi ke Mersing serta negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung.

ZEHRA BINTI ZAMBRI