fb fb fb fb fb

Kenaikan skim gaji penjawat awam jadi keutamaan bila pendapatan negara meningkat

(FOTO HIASAN/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 6 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kenaikan skim gaji penjawat awam akan menjadi keutamaan apabila pendapatan negara meningkat.

Beliau berkata perkara itu akan dibentangkan dalam sesi penggulungan di Parlimen dan akan memberikan gambaran positif dan baik berkaitan hasil pendapatan negara.

"Bila pendapatan negara bertambah skim gaji jadi keutamaan penjawat awam, walaupun tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, semasa penggulungan, saya akan memberikan beberapa gambaran yang positif, yang baik dari segi hasil kita, dari segi pendapatan negara, dari segi jumlah pelaburan yang sebenar, bukan MoU (perjanjian persefahaman)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini.

Sebelum ini, CUEPACS menggesa kerajaan memberi jaminan padu kepada penjawat awam untuk mencari jalan menyediakan skim gaji dan upah yang lebih kompetitif kepada mereka.

Menyifatkan permintaan CUEPACS itu bukanlah bermakna ia perlu dilaksanakan serta-merta, Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata sebahagian daripada penjawat awam terutama dalam kumpulan sokongan, membabitkan keluarga berpendapatan rendah dan perlu dibantu.


(Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri)

Susulan kenyataan CUEPACS itu, Perdana Menteri berkata, kadar gaji dan upah penjawat awam akan dibincang semula setelah 'kantung' kewangan negara bertambah baik selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan.

Perdana Menteri turut mengakui beliau secara peribadi, tidak berpuas hati apabila melihat gaji dan upah semasa penjawat awam ketika ini, berbanding tugas serta komitmen yang diberikan.

Media Baharu