fb fb fb fb fb

Kenaikan harga beras import bukan hanya dialami di Malaysia tetapi global- Mohamad Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 29 November- Kesan langsung kenaikan harga pasaran beras putih import, antara faktor kekurangan beras putih tempatan dalam pasaran negara, selain permintaan melebihi penawaran.

Kenaikan harga juga turut disumbang oleh pengukuhan dolar AS berbanding ringgit yang meningkat daripada 4.47 berbanding dolar kepada 4.61 pada bulan Ogos 2023. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan, kenaikan harga beras itu bukan sahaja berlaku di negara ini, tetapi turut dirasai secara global berikutan harga pasaran antarabangsa bagi beras putih  import meningkat sebanyak 60 peratus pada akhir Ogos 2023.

Menurut beliau, ekoran kenaikan harga beras putih dunia,  pihak PadiBeras Nasional (BERNAS) melaksanakan penyelarasan harga beras putih import, daripada RM2,350 kepada RM3,200 per tan metrik pada 1 September 2023.
 
Situasi itu  menyebabkan permintaan beras putih  tempatan meningkat secara mendadak kerana harga beras putih tempatan dikawal oleh kerajaan iaitu pada kadar RM2.60 sekilogram.

"Secara mudahnya kita faham apabila harga beras import ini melambung naik, selalunya sekampit dalam boleh dibeli RM33, RM34, RM35, naik lebih RM40 , maka pengguna mencari beras yang murah.

"Bukan mencari beras tempatan, tetapi beras yang lebih murah. Beras yang murah itu adalah beras putih tempatan. Sebelum ini ada di gudang-gudang besar, di pasar raya besar, kadangkala beras putih tempatan ini terpaksa dihantar balik kerana kurang menjadi pilihan orang ramai kerana harga import  tidak jauh harganya. Tapi bila harga beras import putih ini  melambung naik, maka pengguna mencari beras putih tempatan,"katanya.

Ketika ini 19 negara membataskan eksport ke luar negara untuk  memberi keutamaan kepada rakyat masing-masing, termasuk India yang mengadakan sekatan eksport beras putih bukan basmathi bermula tahun ini, menyebabkan kesan langsung kepada kenaikan harga beras putih global.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE