PASIR MAS, 29 November- Seramai 440 penduduk terjejas banjir di Kelantan masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 12.00 tengah hari tadi.
Kesemua mereka daripada 138 keluarga ditempatkan di PPS di dua daerah iaitu Bachok dan Pasir Mas.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat adalah seramai 70 orang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor pula 67 orang.
Sementara itu, di Pasir Mas mereka yang ditempatkan di SK Tok Deh adalah seramai 238 orang dan SK Kedai Tanjong, 65 orang.
Menurut Public Infobanjir JPS, paras air Sungai Golok di Kuala Jambu di Tumpat, mencatatkan amaran melebihi tahap bahaya manakala paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan melebihi tahap waspada.