
BATU KAWAN, 4 April – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan langkah penjimatan logistik yang proaktif, termasuk mengurangkan pergerakan kenderaan tidak kritikal bagi mendepani impak kenaikan harga minyak dan diesel.
- Arahan dikeluarkan untuk memastikan penggunaan peruntukan sedia ada lebih cekap menghadapi keperluan peruntukan tambahan
- Mesyuarat dilaksanakan secara dalam talian dan program sokongan dikaji semula bagi mengurangkan penggunaan logistik
- Operasi kecemasan tidak akan dikompromi dan operasi menyelamat kekal sebagai keutamaan
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, arahan telah dikeluarkan bagi memastikan kecekapan penggunaan peruntukan sedia ada di tengah-tengah unjuran keperluan peruntukan tambahan susulan harga bahan api semasa.
Beliau menjelaskan bahawa antara langkah utama yang diambil termasuk mengarahkan mesyuarat diadakan secara dalam talian serta mengkaji semula kaedah pelaksanaan program-program sokongan.
“Kita telah keluarkan surat arahan untuk melihat bagaimana elemen penjimatan dapat dilaksanakan, khususnya melibatkan pergerakan kenderaan yang tidak kritikal.
“Sebagai contoh, kita minta supaya mesyuarat dilaksanakan secara dalam talian supaya tidak perlu melibatkan pergerakan kenderaan. Program-program sokongan juga diminta dikaji semula dengan matlamat mengurangkan penggunaan logistik,” katanya demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela dan Kempen Keselamatan & Kesedaran Awam JBPM Negeri Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Nor Hisham menegaskan bahawa langkah penjimatan tersebut sama sekali tidak akan menjejaskan kecekapan operasi kecemasan jabatan itu.
“Kalau ada panggilan kecemasan, memang tidak ada kompromi. Kita tetap akan bergerak (seperti biasa). Operasi menyelamat kekal sebagai keutamaan,” tegas beliau.