fb fb fb fb fb

'Gaji tinggi naik sikit, yang rendah naik banyak ' - PM

Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 14 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memaklumkan kenaikan gaji penjawat awam bermula Disember tahun ini akan dilaksanakan menerusi pendekatan berbeza yang lebih adil.

Anwar berkata, ia selaras dengan dasar MADANI iaitu mengurangkan jurang gaji yang terlalu tinggi.

"Pertama peningkatan itu harus bermakna, keduanya ia juga harus selari dengan dasar MADANI (iaitu) mengurangkan jarak (gaji) yang terlalu tinggi (atau) melebar termasuk dalam kalangan penjawat awam.

"Maknanya (gaji) tertinggi akan naik terkecil dan terendah akan naik terbanyak," katanya ketika berucap pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di sini hari ini

Dalam pada itu, Anwar menggesa penjawat awam melakukan anjakan, memacu pertumbuhan negara dengan kerajaan terus fokus melaksanakan usaha memperkasa kebajikan warga perkhidmatan awam.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap penjawat awam perlu mengekalkan amalan dan tatakelola baik serta membuang amalan buruk yang akan menjejaskan perkhidmatan awam dan negara.

"Jika prestasi penjawat awam bertambah baik tentunya saya beri pengiktirafan. Ini tanggungjawab saya sebagai bapa dan sebagai seorang bapa, saya gesa anak lebih kuat disiplin, belajar dan kuat kerja.

"Saya nak keputusan baik, bagi sokongan kuat kepada bapa supaya buat kerja dengan lebih baik," katanya.

Anwar berkata, ketika ini Kerajaan Perpaduan pimpinannya telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menjaga kebajikan penjawat awam, merangkumi kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini.

SITI AISHAH MD ISA