fb fb fb fb fb

Kenaikan gaji penjawat awam, Melaka kaji kaedah terbaik

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

AYER KEROH, 21 Mei- Kerajaan Negeri Melaka masih mengkaji kaedah terbaik bagi memastikan kenaikan gaji penjawat awam di negeri itu juga dapat diselaraskan seperti yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, keputusan itu akan dibuat berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan negeri.

Perkara mengenai perkara itu akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2025 Melaka termasuk akan meneliti sudut perbelanjaan dan pentadbiran.

"Kenaikan gaji ini memang diumumkan Kerajaan Persekutuan di peringkat awal, tetapi pelaksanaannya dibuat hujung tahun ini. Jadi kerajaan negeri sedang menunggu kaedah terbaik bagi diumumkan dalam pembentangan bajet untuk tahun depan.

"Jadi kita di negeri memerlukan semua sumber kewangan bagi mengimbangi perbelanjaan dan juga pentadbiran kerajaan negeri. Kita harap semua bersabar, kita masih lagi mencari sumber sumber baru bagi memberikan kebersamaan dengan kerajaan pusat nanti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Mei 2024 di MiTC di sini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI