fb fb fb fb fb

Kemuncak lawatan ke Turkiye, PM bertemu Presiden Erdogan hari ini

ANKARA, 7 Julai- Selepas Istanbul, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di ibu negara Turkiye, Ankara, bagi meneruskan lawatan rasmi empat hari.

Pertemuan empat mata perdana menteri dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden hari ini adalah kemuncak lawatan rasmi empat hari ke Turkiye.

Pertemuan sulung antara kedua-dua pemimpin akan memberi peluang untuk meneliti perkembangan pelaksanaan deklarasi bersama mengenai Rangka Kerja Kerjasama Strategik yang dimeterai pada tahun 2014.

Selain itu, meneroka inisiatif baharu bagi meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin ke peringkat lebih tinggi.

Di Istanbul, perdana menteri bertemu pemain-pemain utama industri Türkiye dalam usaha mengukuhkan kerjasama ekonomi dengan Malaysia dan membuka ruang serta peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.

Bersempena lawatan ini, Malaysia dan Türkiye memuktamadkan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU).

Kedua-dua negara telah pun mengumumkan persetujuan sebelum ini untuk melonjakkan kerjasama, khususnya membabitkan aset pertahanan dan aeroangkasa.

Malaysia meletakkan salah satu tumpuan terhadap bidang tersebut dengan fokus untuk menjadi negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara.

Seperti pemimpin-pemimpin negara sebelum ini, perdana menteri dijadual berkunjung ke Anitkabir, di sini.

Sebelum ke kompleks presiden, beliau terlebih dahulu akan meletakkan kalungan bunga di makam Presiden pertama Turkiye, Mustafa Kamal Ataturk.

Bagi masyarakat Turkiye, Ataturk adalah tokoh besar yang membebaskan mereka daripada belenggu penjajahan.

Oleh itu, makamnya dibina luar biasa.

Pembinaannya sahaja mengambil masa sembilan tahun atas bukit luas di Ankara.

Berita berkaitan
PM tiba di Ankara untuk memulakan bahagian kedua lawatan rasmi di Turkiye
Lawatan sulung PM ke Turkiye bakal perkukuh komitmen kerjasama dua hala

Semasa lawatan Presiden Erdogan ke Malaysia pada Disember 2019 bersempena KL Summit, pertukaran sebanyak 14 MoU antara syarikat-syarikat utama yang beroperasi dalam industri pertahanan telah dilakukan.

Tahap kebergantungan Turkiye terhadap negara luar dalam industri pertahanan telah menurun dengan ketara.

Pada masa sama, kemajuan sains dan teknologi juga semakin berkembang disebabkan minat dan pengiktirafan daripada Malaysia.

Turkiye bukan lagi pasif seperti dahulu.

Negara itu mempunyai visi untuk menerokai ruang angkasa menerusi Program Angkasa Negaranya.

Laporan Hanim Muhili di Ankara.

Media Baharu