fb fb fb fb fb

Kempen tanam pokok, PNB sahut inisiatif hijau

SEREMBAN, 16 Oktober- Sebanyak 46.13 juta pokok ditanam di seluruh negara sehingga kini menerusi Kempen Penanaman 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun.

Menurut Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, jumlah itu sudah melepasi sasaran yang ditetapkan kerajaan dalam tempoh dua tahun.

Menurut Pengurus Besar Villea Port Dickson, Hasnan Ahmad Mokhtar, bagi terus menyokong usaha tersebut di Port Dickson, Attana Hotels and Resorts Sdn. Bhd., sebuah syarikat hospitaliti milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah menyempurnakan penanaman 1,888 pokok landskap dan renek baharu.

"Sebenarnya program ini adalah inisiatif Yayasan Hijau dan Permodalan Nasional Berhad. Jadi, secara kebetulan pada Hari Pelancaran Villea Port Dickson, kami telah terpilih untuk menjadi pelopor kepada program ini. Jadi, setakat ini kita telah pun tanam sebanyak 1,888 pelbagai jenis pokok," kata Hasnan kepada RTM.

Antara yang ditanam, pokok Garcinia Subelliptica atau dikenali sebagai 'Pokok Kebahagiaan', pokok Ketapang, pokok Susun Kelapa, pokok Rhu Biasa dan Rhu Pantai serta pokok Payung Kerdil.

Tambahnya, inisiatif penanaman pokok yang melibatkan sumbangan RM100,000 daripada PNB itu adalah sebahagian daripada usaha meminimumkan impak aktiviti manusia di bumi.

Ia juga membantu mengawal suhu, mengurangkan hakisan tanah selain mencegah pencemaran bunyi.


(Simbolik kempen penanaman pokok disempurnakan Pengurus Besar Villea
Port Dickson, Hasnan Ahmad Mokhtar)

Media Baharu