fb fb fb fb fb

Kempen JMKM@DE DAGANG berlangsung September hingga Disember 2022 - Annuar

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 1 September - Kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia @DE DAGANG (JMKM@DE DAGANG) yang akan bermula Sabtu ini akan berlangsung hingga hujung tahun ini.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata jumlah jualan kasar yang disasarkan bakal melebihi RM1.5 bilion dengan menjana lima juta transaksi.

(Tan Sri Annuar Musa (tengah) dalam sidang media di Putrajaya)

"Program ini akan menumpukan bukan hanya kepada barangan basah dan keperluan asas sahaja, kita memperluaskan kepada perkhidmatan-perkhidmatan lain yang melibatkan perbelanjaan rakyat termasuklah bidang pelancongan, jualan produk kraf, produk halal, produk pertanian serta barangan Malaysia yang peniaga-peniaga ingin menjual ke luar negara.

"Bentuk kemudahan akan dinikmati oleh peniaga dalam satu bentuk, pada pembeli tempatan dan juga pemunya platform tempatan yang akan diberikan bimbingan untuk memperkasakan lagi platform mereka," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas tersebut, di sini.

Tambah Annuar, melalui kerjasama dengan Rakan Platform Digital, kempen ini membolehkan orang ramai berbelanja pada harga berpatutan dengan potongan diskaun sehingga 20 peratus.

Katanya, pelbagai insentif turut diberikan, seperti potongan harga, baucar diskaun, rebat dan baucar penghantaran bagi mendorong lebih banyak pembelian dalam talian dari perniagaan dan produk tempatan.

"Sejajar inisiatif Belanjawan 2022, JMKM@DE DAGANG bersama rakan platform digitalnya juga menyalurkan manfaat dan sokongan kewangan bernilai RM300 juta kepada peniaga tempatan melalui pelbagai platform e-Dagang dan e-Bayar," katanya.

Media Baharu