fb fb fb fb fb

Kempen banteras jenayah seksual kanak-kanak

LABUAN, 15 Oktober- Kempen membenteras jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak salah satu inisiatif dalam membantu dan membimbing golongan itu dan ibubapa serta komuniti berhadapan dengan cabaran jenayah siber pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak semakin meningkat.


(Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berucap pada kempen tersebut)

Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 106,764 “IP Adress” yang berdaftar di Malaysia telah membuat perkongsian pornografi kanak-kanak semenjak tahun 2017 hingga Ogos 2022.

Oleh itu, penglibatan Suruhanjaya komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) amat penting dalam usaha meningkatkan rasa tanggungjawab pengguna internet di kalangan rakyat di negara ini, menerusi Program “Klik Dengan Bijak”.

Ini kerana program itu membudayakan penggunaan internet secara positif, berteraskan tiga aspek iaitu keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab.

Melalui program itu juga, MCMC dapat melahirkan pengguna yang bijak internet, beretika seterusnya mewujudkan persekitaran yang selamat untuk pengguna menggunakan internet.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program itu yang berlangsung di Ujana Kewangan Labuan.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan Ansharey Matarsad dan Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan Alyas Roy Amir.

Media Baharu