fb fb fb fb fb

Kementerian Komunikasi terus perhebat reformasi kerenah birokrasi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (kiri) merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan ketika sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi, di Putrajaya

PUTRAJAYA, 26 Jun - Kementerian Komunikasi terus optimis memperhebat usaha reformasi kerenah birokrasi di semua agensi dan badan berkanun bawahnya.

Menterinya Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu selaras dengan pencapaian kementerian tersebut sebagai salah satu daripada tiga kementerian yang berjaya melaksanakan inisiatif reformasi itu secara berkesan dan telah menerima sijil khas penghargaan daripada Ketua Setiausaha Negara.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berjaya mempercepatkan proses kelulusan skrip filem asing daripada 30 hari kepada hanya tujuh hari. Ia menyumbang kepada penjimatan kos beban peraturan hingga RM2.4 juta bagi setiap produksi.

"Kejayaan ini merupakan satu pencapaian signifikan buat FINAS, memandangkan penilaian skrip merupakan komponen penting bagi syarikat penggambaran luar negara yang ingin menjalankan produksi di Malaysia,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Tambah beliau, agensi lain seperti Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) turut menunjukkan kemajuan ketara, antaranya melalui pelancaran Garis Panduan PUSPAL (GPP) 6.0 pada April lalu. 

"Penambahbaikan itu telah memudahkan proses kelulusan bagi penganjuran konsert serta aktiviti penggambaran melibatkan artis dan syarikat antarabangsa." katanya.

Kementerian turut komited akan meneliti beberapa langkah susulan termasuk di peringkat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), terutamanya berkaitan proses permohonan lesen.

TETITIA YUSOFF