IPOH, 26 Jun – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan melancarkan Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR), sebuah entiti rasmi bagi pengurusan kutipan zakat dan wakaf tunai negeri Perak.
Penubuhan ZAPAR, sebuah anak syarikat milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), merupakan satu inisiatif strategik untuk meningkatkan tahap kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem kutipan zakat negeri ini.
Sultan Nazrin bertitah, keutamaan kepada tadbir urus cekap dan berorientasikan digital yang diterapkan menerusi ZAPAR akan memperkukuh peranan institusi Islam agar lebih relevan dengan arus semasa.
“Keutamaan tata kelola yang cekap dan teratur serta berorientasi digital yang diterapkan di ZAPAR akan menyuburkan peranan institusi Islam seiring arus kontemporari.
"Melalui platform digital, kutipan zakat kini dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas,” titah baginda pada Majlis Pelancaran ZAPAR di sini, pagi tadi.
Tambah baginda kemajuan teknologi dapat mempercepat proses agihan zakat, melalui pengumpulan maklumat yang tepat dan tersusun, sekali gus memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar dengan lebih efisien.
Jelas baginda, setiap transaksi juga kini dapat dijejak dengan mudah oleh pembayar dan penerima zakat, seterusnya meningkatkan ketelusan dan integriti institusi zakat.
Dalam titahnya, baginda turut menegaskan bahawa institusi Islam perlu terus bergerak seiring perubahan teknologi dan era digital, agar tidak dilihat lapuk dan ketinggalan tanpa sebarang pembaharuan.