fb fb fb fb fb

Isu keselamatan 'online' dibincang bersama META minggu depan - Fahmi

Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 3 April- Kementerian Komunikasi akan mengadakan satu pertemuan bersama syarikat konglomerat, Meta Platforms Inc bagi membincangkan isu aspek keselamatan dalam talian.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pertemuan yang membincangkan trend penyalahgunaan platform media sosial itu akan diadakan pada Isnin depan.

"Kita akan bangkitkan bagaimana Meta telah diperalat dan diperguna untuk memesong fakta dan menyebarkan maklumat serta berita palsu. Ini adalah satu perkara yang kita pandang serius.

"Sekiranya Meta gagal untuk memberikan kerjasama, kita ada beberapa tindakan yang sedang dirangka," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini.

Tambah Fahmi, pertemuan dengan Meta turut terkait dengan penyebaran maklumat palsu di media sosial baru-baru ini berhubung dakwaan kerajaan tidak menganjurkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 HIjrah/2024 Masihi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga telah diarahkan untuk mengenal pasti pihak yang bersekongkol dan tindakan akan diambil.

Jelas beliau, berita palsu itu telah dinafikan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang mengesahkan program tersebut akan dianjurkan pada Mei depan di Pahang.

"Sebenarnya, sangat mudah untuk kita sahkan (berita palsu atau tidak) hanya dengan melakukan carian dalam Google," ujarnya lagi.

Jelas Fahmi, pertemuan berkenaan juga akan membincangkan isu pemilikan akaun media sosial oleh kanak-kanak bawah 13 tahun.

"Mereka (kanak-kanak) tidak patut dan tidak boleh mempunyai akaun dalam Facebook, Instagram, WhatsApp, X, TikTok dan sebagainya.

"Semua platform pada waktu ini tidak memberi penegasan melalui mekansime yang ketat menghalang kanak-kanak daripada membuka akaun dalam platform-plaform tersebut," katanya.

SITI AISHAH MD ISA