fb fb fb fb fb

MITRA dikembalikan semula ke JPM - Fahmi

Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 3 April- Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kini dikembalikan semula ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) daripada Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Menteri Komunikas yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

"Jemaah Menteri putuskan MITRA dikembalikan ke JPM. Mengenai penguatkuasaan dan bila dipindahkan, boleh rujuk kepada MITRA," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini.

Ditanya mengenai hala tuju baharu MITRA, Fahmi berkata, matlamat lanjut itu akan dimaklumkan MITRA.

"Sudah pasti dengan pulangnya MITRA ke JPM, fokus khusus akan diberikan untuk pastikan bukan sahaja MITRA sebagai sebuah badan diurus dengan baik, tetapi matlamatnya juga sama ada dapat dicapai atau diharap dikembang luas," katanya.

Terdahulu, bekas Pengerusi MITRA, Datuk R. Ramanan menggesa agar agensi tersebut dikembalikan di bawah JPM.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, gesaan itu juga disuarakan, kerana infrastruktur dan sumber di bawah JPM lebih maju berbanding kementerian lain, sekali gus membantu pengurusan lebih efisien untuk unit khas itu.

MITRA pada asalnya dikenali sebagai Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC), ditubuhkan pada 2014 sebelum dijenamakan semula pada 2018 diterajui oleh KPN.

Pada September 2022, ia dipindahkan di bawah seliaan JPM.

Bagaimanapun pada Disember 2023, MITRA diletakkan semula di bawah KPN, sebelum Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA, menggantikan Ramanan pada Februari.

SITI AISHAH MD ISA