fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan umum bantuan khas Aidilfitri RM500

Foto hiasan

SEREMBAN, 3 April- Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia melibatkan seramai 6,662 penjawat awam negeri dan bayaran akan dibuat pada Jumaat ini.

"Insya-Allah mereka akan dapat bantuan khas aidilfitri pada Jumaat ini. Kita sedia maklum bahawa dengan keadaan kewangan kita, kita bagi RM500," katanya dalam Majlis Pra-Pelancaran Program Mantai Rayo 2024 di Wisma Negeri, di sini.

Menurut Aminuddin pemberian bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan lebih RM3 juta untuk semua peringkat penjawatan.

Dalam pada itu sebanyak 16,000 kilogram daging pejal atau 160 ekor lembu disediakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan sempena Program Mantai Rayo 2024 yang akan dilancarkan serentak di semua lapan Parlimen dan 16 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 April ini.

Aminuddin berkata, program itu bertujuan untuk memberi kemudahan kepada masyarakat untuk mendapatkan barangan mentah sebagai persediaan juadah sempena Aidilfitri yang dijangka bakal disambut pada 10 April ini.

Amiuddin juga mahu setiap peserta yang mengambil bahagian dalam program itu menjual daging pejal segar pada kadar harga RM36 sekilogram.

"Kita menggalakkan supaya mereka datang awal sebab semua bergantung kepada stok bekalan. Sekiranya ada stok kita akan jual lebih lama.

"Sebab persiapan hari raya kadang-kadang tidak menentu ada yang tidak habis. Jadi saya harap bahawa masyarakat memahami keistimewaan mantai sempena Aidilfitri ini," katanya.

Terdapat 11 lokasi yang akan terlibat dalam Program Mantai Rayo pada 7 April ini selain megadakan Program Jualan Ladang Nismilan Prihatin, Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI