fb fb fb fb fb

Kementerian Digital sokong universiti tempatan wujudkan fakulti pengajian AI

Menteri Digital, Gobind Singh Deo / FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 3 Disember- Kementerian Digital menyambut baik usaha ke arah memperluas kursus pengajian berteraskan kecerdasan buatan (AI) di negara ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, sokongan penuh juga akan diberikan kepada pihak universiti yang berupaya mewujudkan fakulti tersebut. 

Usaha itu bagi memastikan modal insan bidang berkenaan mencukupi pada masa hadapan, sejajar hasrat Pelan Transformasi Digital. 

Ketika ini, bidang tersebut hanya ditawarkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

"Kalau ada tarikan terhadap aspek AI maka ada peluang yang mencukupi untuk setiap rakyat Malaysia mendapat pelajaran yang diperlukan untuk meningkatkan taraf atau memastikan bakat itu sentiasa ada.

"Bergerak ke hadapan, kita mahu pastikan ianya diperluaskan di seluruh negara. Setiap universiti ataupun institusi pendidikan yang mempunyai keupayaan untuk memulakan fakulti tersebut kita akan sokong," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Transformasi Pembuatan dengan Teknologi 5G dan AI,  di Johor Bahru, Johor. 

Terdahulu, UTM dalam satu kenyataan, menzahirkan kesediaan untuk membuka kursus pengajian jangka pendek, dalam bidang AI, bagi memudahkan golongan bekerja melanjutkan pengajian. 

Kursus tersebut boleh ditawarkan di cawangan UTM Johor dan Kuala Lumpur, sekiranya mendapat permintaan tinggi.

Setakat ini, UTM Kuala Lumpur menawarkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa dalam AI, membabitkan penglibatan 126 pelajar sejak 29 September lalu.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Gobind memaklumkan perkhidmatan rangkaian Internet 5G kini meningkat dan telah digunapakai kira-kira 17.5 juta pengguna seluruh negara, setakat ini

Beliau berkata, jumlah pengguna itu membabitkan wilayah capaian 5G melebihi 82 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara.

Perkembangan tersebut jelasnya menunjukkan daya tarikan tinggi dalam kalangan rakyat, terhadap perkhidmatan infrastruktur 5G.

Kementerian Digital turut komited memastikan tahap literasi digital dalam kalangan masyarakat, terus dipertingkat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE