fb fb fb fb fb

Waris kakitangan RTM meninggal dunia terima sumbangan pejabat PM

FOTO PMO

KUALA LUMPUR, 3 Disember- Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri hari ini menziarahi keluarga dua petugas Jabatan Penyiaran RTM yang meninggal baru-baru ini iaitu keluarga Allahyarham Jazarul Arif Jamaludin di kediamannya di Kelana Jaya dan keluarga Allahyarham Khairul Azli Rahim di Setapak. 

Allahyarham Jazarul Arif Jamaludin, merupakan Ketua Unit Multimedia meninggal dunia pada 22 November dan Allahyarham Khairul Azli Rahim, Penolong Pengarah Seksyen Perhubungan Antarabangsa, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), meninggal dunia pada 27 November lalu. 

Setiausaha Akhbar Kanan Tunku Nashrul Abaidah bersama pegawai Bahagian Media & Komunikasi Strategik mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sumbangan bagi pihak Perdana Menteri kepada isteri Allahyarham Jazarul Arif, Suridanila Abu Bakar dan kakak Allahyarham Khairul Azli Rahim, Norfaizah Rahim.

"Di sini saya minta Kementerian Komunikasi untuk selaraskan apa-apa bantuan atau pun permintaan daripada keluarga, andai kata tidak mencukupi, insya-Allah kita di Pejabat Perdana Menteri dan juga Kementerian Komunikasi akan sedia membantu.

"Kita percaya di Kementerian Komunikasi juga ada pelbagai tabung yang dikhususkan untuk rakan-rakan wartawan. Jadi mungkin kita boleh selaraskan daripada situ," katanya.

Penyelarasan itu bagi meringankan serta memudahkan urusan keluarga terbabit untuk meneruskan kehidupan.

Tambah Tunku Nashrul, Perdana Menteri turut mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan menempatkan roh Allahyarham Jazarul dan Allahyarham Khairul Azli dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE