fb fb fb fb fb

Kementerian, agensi berkaitan disaran mudahkan urusan pengambilan pekerja asing - MPN

(Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditemu bual media selepas persidangan meja bulat MPN bersama
tokoh perniagaan dan pakar akademik di ibu negara) 

KUALA LUMPUR, 19 Julai - Kerjasama kolektif semua pihak diperlukan bagi menangani cabaran kekurangan tenaga buruh termasuk melibatkan tenaga buruh asing.

Majlis Pemulihan Negara (MPN) berpandangan isu tersebut antara faktor utama melambatkan usaha pemulihan ekonomi, selain menjejas produktiviti.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kementerian dan agensi berkenaan dapat memudahcara urusan pengambilan pekerja demi kelangsungan sektor yang terkesan.

Katanya pengambilan pekerja asing merupakan keperluan pelbagai sektor ekonomi seperti perladangan, pembinaan, pembuatan, perkilangan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meneruskan produktiviti mereka.

"Termasuk SME, perladangan, pembinaan untuk tenaga kerja ini terutama tenaga kerja asing, sampai hari ini belum dapat diatasi, jadi mungkin ada keperluan kementerian dan agensi berkaitan mempermudahkan lagi, walaupun proses itu dah mudah, tapi proses pengambilan itu masih lambat dan ini beri kesan besar kepada produktiviti dan proses pemulihan," kata beliau selepas persidangan meja bulat MPN bersama tokoh perniagaan dan pakar akademik, di sini.


(Foto fail)

Turut dibincangkan mekanisme subsidi bersasar bagi mengurangkan beban fiskal kerajaan, selain isu jaminan keselamatan makanan.

Menyentuh mengenai perbelanjaan subsidi negara yang mencecah RM77 bilion, Muhyiddin berkata MPN sedang mengambil tindakan susulan bagi memastikan kerajaan tidak terus menanggung beban subsidi yang tinggi. 

Katanya ramai ahli MPN mencadangkan kerajaan membuat pemberian subsidi bersasar iaitu kepada kumpulan tertentu yang lebih berhak menerimanya. 

Media Baharu